Tuesday, October 5, 2010

SALM

sumber:

Website Jabatan Pertanian Sabah



SKIM AMALAN LADANG BAIK MALAYSIA (SALM)

1. Objektif

Satu skim persijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Yang Baik (APB) berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Skim ini adalah berpandukan Standard (SALM) Skim Amalan Ladang Baik Malaysia dan berdasarkan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities – Good Agricultural Practices (GAP)

2. Proses Persijilan

Proses untuk persijilan melibatkan kerja-kerja pemprosesan permohonan, pemeriksaan ladang dan kawasan, verifikasi amalan ladang, analisis hasil ladang, penilaian dan kelulusan oleh Jawatankuasa untuk persijilan.

3. Pelaksanaan

Lawatan ke ladang akan dijalankan oleh pegawai pemeriksa yang dilantik dan dinilai berpandukan Standard SALM serta garis panduan yang telah ditetapkan. Tiga aspek penilaian akan diberi tumpuan untuk tujuan persijilan iaitu:-

  • Kesesuaian ladang dan persekitaran
  • Amalan pertanian yang dilaksanakan
  • Kualiti produk yang dihasilkan

Data dan maklumat yang diperlukan untuk tujuan penilaian diperolehi daripada penyiasatan tapak, rekod ladang, pengurusan di ladang dan juga pengambilan sampel hasil bagi tujuan analisis di makmal.

Produk-produk yang dikeluarkan dari ladang adalah berkualiti, selamat untuk dimakan dan mempunyai bentuk, rupa dan rasa yang baik serta tidak mengandungi sisabaki racun perosak dan kandungan logam yang melebihi paras dibenarkan.

4. Syarat Persijilan

Ladang-ladang yang telah mematuhi syarat-syarat berikut layak diberi pertimbangan untuk persijilan SALM:

  1. Kebolehkesan/Traceability – Mempunyai sistem pengesanan produk.
  2. Penyimpanan Rekod dan Audit Dalaman – Mempunyai rekod ladang yang lengkap, terkini dan melaksanakan Audit Dalaman.
  3. Bahan Tanaman – Bahan tanaman dari varieti yang disyorkan, bebas penyakit dan tidak menggunakan bahan tanaman jenis GMO.
  4. Rekod Sejarah dan Pengurusan Tapak – Mempunyai rekod sejarah dan pengurusan tapak.
  5. Pengurusan Tanah dan Substrat – Mempraktikkan teknik tanaman di ladang yang mengurangkan hakisan tanah serta menggunakan substrat organik bagi penanaman yang tidak menggunakan tanah.
  6. Pengurusan Baja – Penggunaan baja berasaskan keperluan tanaman. Baja dari unsur najis manusia dan khinzir tidak dibenarkan. Mempunyai tempat penyimpanan baja yang sesuai.
  7. Pengairan dan Fertigasi – Tidak menggunakan air buangan (sewage) yang tidak dirawat bagi tujuan pengairan dan pengairan dari sumber air yang mapan (sustainable).
  8. Perlindungan Tanaman – Menggunakan racun makhluk perosak yang didaftar di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 untuk mengawal perosak dan mengamalkan pendekatan Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB).
  9. Penuaian – Sistem penuaian yang bersesuaian dan menjaga kebersihan hasil.
  10. Rawatan Pascatuai – Rawatan yang sesuai digunakan jika perlu.
  11. Analisis Hasil – Analisis sisa baki racun makhluk perosak bagi hasil dijalankan.
  12. Pengurusan Sisa Ladang – Melibatkan diri dalam program kitar semula atau diguna semula dengan membuat kompos.
  13. Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan Pekerja – Menjaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja.
  14. Isu-Isu Alam Sekitar – Mematuhi perundangan mengenai alam sekitar.
  15. Rekod Aduan – Merekod aduan mengenai produk yang tidak menepati keperluan standard.
  16. Keperluan Perundangan – Aktiviti di ladang mematuhi semua perundangan yang dikuatkuasa di Malaysia.

5. Peringkat Persijilan

Rujuk kepada Standard (SALM) Skim Amalan Ladang Baik Malaysia

Di dalam panduan Standard SALM, terdapat 29 elemen/syarat yang dikategorikan sebagai syarat Wajib Utama (major must). 76 Wajib Bukan Utama (minor must) dan 57 syarat di bawah kategori Digalakkan (encouraged).

  • Syarat Wajib Utama ialah syarat yang mesti dipatuhi, jika tidak, akan menyebabkan impak yang serius kepada alam sekitar, keselamatan makanan dan kebajikan pekerja.
  • Syarat Wajib Bukan Utama ialah syarat yang mesti dipatuhi, tapi impaknya tidak begitu serius.
  • Syarat Digalakkan ialah syarat yang tidak diwajibkan tetapi adalah disyorkan dalam standard.

Dua (2) peringkat Persijilan:

  • Peringkat 1: Ladang-ladang yng telah mematuhi kesemua syarat wajib utama, <95%>

Pada peringkat ini ladang akan diberi surat akuan.

  • Peringkat 2: Ladang mematuhi kesemua syarat wajib utama, ≤95% syarat wajib bukan utama, dan ≤50% syarat yang digalakkan.

Ladang yang telah mencapai peringkat ini akan dianugerahkan Sijil.

Ladang yang telah lulus persijilan SALM boleh menggunakan logo SALM. Persijilan adalah sah untuk tempoh dua tahun dan pembaharuan persijilan akan dikeluarkan hanya jika ladang dapat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Persijilan juga boleh ditarik balik dalam tempoh sahlaku jika dalam tempoh itu ladang didapati gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

No comments:

Post a Comment