Friday, October 8, 2010

masalah pengeluaran padi

http://www.mohdjoharibaharum.com/?p=1137


Empat masalah jejas pengeluaran padi
Oleh MOHD. sHARIZA ABDULLAH utusankedah@utusan.com.my
KUBANG PASU 1 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenal pasti empat masalah yang dihadapi oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi di kawasan jelapang padi negara itu.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, masalah pertama ialah infrastruktur di dalam kawasan MADA yang telah uzur dan ketinggalan berbanding kawasan jelapang padi lain di negara ini.
Katanya, sikap segelintir petani yang enggan bekerjasama dan mementingkan diri turut menyukarkan MADA meningkatkan hasil padi manakala masalah ketiga, terdapat pegawai lembaga itu yang cuai ketika menjalankan tugas terutama sewaktu membuat penyeliaan.
"Masalah terakhir ialah keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan ada sesetengah kawasan ditenggelami air ketika hujan lebat berterusan dan pada waktu-waktu tertentu terdapat pula kawasan bendang yang kering-kontang.



"Masalah cuaca sukar dielakkan tetapi ia diburukkan lagi dengan keadaan infrastruktur MADA termasuk sistem saliran yang sudah berusia lebih 30 tahun itu," katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan PTPTN Parlimen Kubang Pasu di Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba, Changlun di sini semalam.
Mohd. Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, bagi mengatasi masalah berkenaan, adalah amat penting untuk menaikkan taraf infrastruktur MADA seperti yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).



Selain itu, katanya, pelaksanaan sistem estet padi yang sedang giat dipromosikan pada ketika ini juga berkesan untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi di kawasan tersebut kerana ia berkonsepkan amalan perladangan secara cekap di bawah satu pengurusan.
"Sebab itu kita akan memberi keutamaan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan yang diusahakan secara estet. Ia juga boleh diibaratkan sebagai imbuhan kepada petani yang menyertai projek berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment