Sunday, April 22, 2012

Segera tentukan nasib 35,000 kakitangan kontrak: CUEPACS

Presiden Cuepacs




21 April 2012
Segera tentukan nasib 35,000 kakitangan kontrak: CUEPACS
Borneo Post
21/4/2012

MIRI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan nasib kira-kira 35,000 orang kakitangan kontrak di agensi-agensi kerajaan seluruh negara sama ada diserapkan ke jawatan tetap atau sebaliknya.
Justeru, menurut Timbalan Presiden CUEPACS Pusat, Azih Muda, pihaknya amat berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangkan khas supaya kakitangan kontrak terbabit yang juga merupakan sebahagian penjawat awam disambung perkhidmatan mereka atau diberikan jawatan tetap.
“Namun sehingga kini, belum ada sebarang tindakan drastik diambil pihak berkuasa yang berkaitan. Sehubungan itu, kita menggesa kerajaan supaya bertindak segera berhubung isu berkenaan memandangkan ada dalam kalangan kakitangan kontrak terbabit yang akan tamat kontrak pada Mei depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas menghadiri majlis perasmian Seminar CUEPACS Bahagian Sarawak yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Sumber Manusia), Datu Misnu Taha di sini pagi semalam.
Seminar sehari itu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini dihadiri seramai 120 orang penjawat awam dari pelbagai jabatan di bahagian Miri.
Menurut Azih, buat masa sekarang terdapat kira-kira 35,000 orang kakitangan yang berkhidmat secara kontrak di agensi-agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri, persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.
“Ada dalam kalangan kakitangan kontrak ini yang telah berkhidmat antara empat hingga 15 tahun dan kalau mereka ditamatkan perkhidmatan dengan tergesa-gesa, sudah pasti agak sukar bagi mereka kerana mempunyai tanggungan seperti keluarga, pendidikan anak-anak dan juga pinjaman,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, CUEPACS sekali lagi mengulangi rayuannya kepada Perdana Menteri agar memberi keutamaan kepada isu berkaitan kakitangan kontrak (disambung perkhidmatan) ini yang dibincangkan hangat di seluruh negara pada masa sekarang.
“Ataupun, kalau ada peluang, mereka boleh diberikan jawatan tetap di mana-mana agensi kerajaan mereka berkhidmat memandangkan ramai di kalangan pekerja kontraktor ini belum diserap ke jawatan tetap,” ujar beliau lanjut.
Dalam pada itu menurut Azih, semua penjawat awam di Sarawak akan  menerima pelarasan gaji Sistem Saraan Baru (SSB) yang telah ditambah baik mulai Mei depan.
“Pelaksanaan gaji SSB plus atau SSB ditambah baik akan dimulakan mulai Mei depan iaitu lambat sedikit daripada persekutuan. Persekutuan telah bayar pelaksanaan gaji berkenaan pada April.
“Ini bermakna tunggakan gaji SSB ditambah baik akan dibayar bersama kenaikan gaji dari Januari hingga April bagi semua anggota penjawat awam di Sarawak,” jelas beliau lanjut.

diambil dari: http://cuepacs.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment