Sunday, April 29, 2012

logot2 ke 2020....




Pada tahun lalu, pelaburan langsung asing di Malaysia meningkat lebih daripada 12 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Peningkatan itu membuktikan bahawa keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap negara ini terus berkembang meskipun dalam keadaan ekonomi global sekarang di samping terdapat kritikan yang berlanjutan di dalam dan di luar negara. Apabila pelabur asing “meletakkan” wang mereka di negara ini, hal tersebut menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, mereka mempunyai keyakinan terhadap dasar kerajaan yang mampu mewujudkan suasana ekonomi yang positif dan memberangsangkan.
    Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed, pelaburan langsung asing negara mencatatkan jumlah RM32.9 bilion pada tahun lepas. Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah pelaburan negara. Daripada jumlah tersebut, 72 peratus datang dari Asia. Sebelum ini, Mustapa menyatakan bahawa jumlah perdagangan negara secara keseluruhannya pada tahun lalu ialah RM1.269 trilion – sekali lagi jumlah yang tertinggi yang pernah dicatatkan.
   Tatkala ekonomi dunia mengalami ketidaktentuan, kejayaan negara menarik pelaburan asing amat dibanggakan. Ketika Eropah terjerumus ke dalam kemelut ekonomi yang serius, ekonomi Malaysia berkembang dengan pesatnya. Oleh sebab dasar ekonomi negara yang baik, yang mampu menangani ketidaktentuan ekonomi global, setidak-tidaknya sehingga saat ini, dikukuhkan lagi oleh kestabilan politik, pelabur asing, dan pelabur dalam negeri juga, mempunyai keyakinan yang tinggi untuk melakukan pelaburan.
    Dengan tinggal hanya lapan tahun sebelum tibanya tahun 2020, Malaysia mampu muncul sebagai negara maju dan negara berpendapatan tinggi, seperti yang dihasratkan. Walau bagaimanapun, impian tersebut hanya akan dapat direalisasikan jika segala perencanaan, seperti Program Transformasi Ekonomi, dilaksanakan sebagaimana yang dirancang.

sumber:http://www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=2461&IID=

No comments:

Post a Comment