Tuesday, February 7, 2012

AWAS!!!!


Monday, February 6, 2012
Sawah diserang ulat ratus



Hampir 200 hektar daripada 275 hektar sawah padi di daerah Kubang Pasu terjejas akibat serangan makhluk perosak tanaman dikenali sebagai ulat ratus atau dipanggil ulat kerbau sejak sebulan lalu.
Serangan ulat berkenaan atau nama saintifiknya Spodoptera Mauritia mengakibatkan lebih 100 petani kerugian kira-kira RM150,000 apabila padi mereka patah tangkai sebelum boleh dituai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, serangan ulat ratus kali ini berlaku secara menyeluruh apabila hampir seluruh kawasan sawah padi di daerah ini terjejas.

"Ulat ini yang datang daripada sejenis kupu-kupu cepat membiak dan dalam tempoh seminggu, ancaman boleh menjadi lebih serius.

"Biasanya seekor kupu-kupu dewasa akan bertelur sehingga 300 biji telur dan selepas menetas, ia akan bertukar menjadi larva yang makan daun dan tangkai pokok padi," katanya selepas melawat kawasan sawah padi yang terjejas akibat serangan ulat tersebut di Kampung Pulau Pisang, di sini semalam.

Menurut Mohd. Johari, serangan ulat ratus boleh dikawal dengan menggunakan racun serangga yang disyorkan manakala di kawasan sawah padi yang sudah masak, tuaian boleh dilakukan segera bagi mengelakkan diserang makhluk perosak tanaman tersebut.

Katanya, permohonan akan diajukan kepada kerajaan untuk membantu pesawah yang terjejas akibat serangan makhluk perosak tanaman itu.

"Saya akan meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) membuat laporan untuk dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara bagi memohon bantuan dalam meringankan beban pesawah terlibat," katanya.

Dalam pada itu, seorang pesawah dari Kampung Pulau Pisang, Abdul Ghani Saad, 67, berkata, dia menganggarkan kerugian kira-kira RM4,000 selepas hampir 3.74 hektar sawah padi yang diusahakannya diserang ulat ratus.

"Saya sudah menyiram racun di kawasan sawah padi yang terjejas tetapi ulat-ulat ini terus membiak sehingga banyak tangkai pokok padi gugur selepas ia dimakan haiwan ini," katanya.

Diambil dari:
http://www.bharian.com.my/articles/UlatratusserangsawahdiKubangPasu/Article/

No comments:

Post a Comment