Ketika kemelesetan ekonomi, perubatan herba menjadi perubatan alternatif yang diterima pengguna disebabkan kos yang lebih rendah berbanding dengan perubatan moden, kata Pengerusi dan Pengasas Majlis Forum Ekonomi Global Bio-Herba Datuk Yeat Sew Chuong. Sambil menyatakan industri herba sebagai industri anti krisis, Yeat berkata industri itu kian berkembang kukuh sejak beberapa tahun lepas, daripada kira-kira RM7 bilion pada 2006 kepada RM9 bilion pada tahun lepas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita hari ini sempena Forum Ekonomi global Bio-Herba Kedua di sini esok. Forum tiga hari itu akan dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai. Forum yang dijangka menarik penyertaan 3,000 peserta tempatan dan dari seberang laut itu akan membentangkan pelbagai tajuk dan isu mengenai industri bio-herba serta sesi jaringan perniagan. Forum itu akan menjadi platform bagi peserta industri itu untuk meluaskan jaringan masing-masing, bertukar-tukar idea dan mempamerkan produk kesihatan terbaru dari China, Amerika Syarikat, Filipina, Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam.
Bagi menyokong pertumbuhan industri herba tempatan, Yeat berkata usaha diperlukan pada masa ini untuk merangsang pengusaha tempatan meraih potensi besar industri itu. Katanya kerajaan perlu turut mengenal pasti industri itu serta bidang yang berpotensi untuk dibangunkan bagi membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana industri herba global diunjurkan bernilai AS$5 trilion menjelang 2050 daripada AS$200 bilion sekarang ini.
"Kebanyakan PKS tempatan terbabit dalam aktiviti nilai tambah yang rendah seperti pemprosesan bahan tumbuhan kering bagi menghasilkan serbuk dan fermentasi bagi pengeluaran tonik perubatan," kata Yeat. "Bagi membolehkan mereka meluaskan pasaran, mereka perlu meningkatkan rantaian nilai dengan menambah baik pengeluaran masing-masing ke paras teknologi lebih tinggi," katanya, sambil menyatakan kini terdapat lebih 1,000 syarikat tempatan yang terbabit dalam industri itu.
Disebabkan kekurangan bukti saintifik dan penyelidikan mengenai keselamatan, keberkesanan dan penyeragaman produk herba, industri tempatan di negara-negara Asean kehilangan agihan industri itu yang bernilai AS$200 bilion. Di pasaran global, Yeat berkata Jerman mendahulu dengan 28 peratus agihan pasaran manakala Asean mencatatkan 18 peratus dan Jepun menguasai kira-kira 13 peratus. Walau pun penggunaannya merupakan sesuatu yang biasa di Asia, katanya kadar penerimaan di rantau ini rendah, iaitu sebanyak 8.0 peratus sahaja daripada penduduk Asia berbanding dengan sehingga 20 peratus di sesetengah negara Barat. Menurutnya, kadar penerimaan yang lebih tinggi itu disebabkan ramai penduduknya menyedari pentingnya perubatan semula jadi bagi mengekalkan kesihatan masing-masing serta tahap tinggi penyelidikan dan pembangunan, keselamatan dan penjenamaan yang terlibat dalam produk herba.
Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan produk herba semula jadi, katanya para peserta industri digalakkan mengguna pakai prinsip amalan pertanian yang baik, amalan pengilangan yang baik dan amalan makmal yang baik. Yeat, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif INS Bioscience Bhd yang mengeluarkan makanan tambahan kesihatan herba di bawah jenama Easy Pha-max, berkata Malaysia berpeluang mengeluarkan produk herba halal. "Malaysia mempunyai sumber herba yang besar dan dengan itu mempunyai peluang yang cerah untuk mmebekalkan kepada 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment