AMANAT PENGARAH PERTANIAN TAHUN 2012
27 JANUARI 2010
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh
Yang Berusaha, Encik Hanafiah
Hj Arsad
Timbalan Pengarah Pertanian
(Pengurusan)
Merangkap Pengerusi Penganjur
Majlis
Yang Berbahagia, Encik Idrus
Shafie
Timbalan Pengarah Pertanian
(Pembangunan)
Yang Berbahagia, Puan Julia
Lamdin,
Timbalan Pengarah Pertanian
(Penyelidikan)
Ketua-Ketua Penolong Pengarah
Pertanian dan Penyelidikan
Penolong-Penolong Pengarah
Pertanian dan Penyelidikan
Ketua-Ketua Pegawai
Penyelidikan
Ketua Akauntan
Pegawai Tadbir Kanan
Pegawai-Pegawai Pertanian,
Penyelidikan dan Teknologi Makanan Kanan
Pegawai-Pegawai Pertanian,
Penyelidikan, Perikanan, Kejuruteraan Veterinar dan Teknologi Makanan.
Pegawai-Pegawai Penguasa dan
Ketua-Ketua Seksyen
Kakitangan Jabatan dari
Ibupejabat dan Luar Ibupejabat
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Para
Hadirin yang di kasihi Sekalian.
Alhamdulillah, syukur kita ke
hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnianya kita di beri
kesihatan dan umur yang panjang untuk kita dapat bersama-sama di majlis yang
amat bermakna pada pagi ini.
Sebelum saya meneruskan
ucapan saya pada pagi ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Encik
Hanafiah Hj. Arsad dan ahli-ahli Jawatankuasa Beliau dan semua pihak yang telah
membuat sumbangan dalam pelbagai bentuk dan segala usaha untuk memastikan
Majlis kita pada pagi ini dapat di anjurkan dengan jayanya.
Terima kasih juga kepada
tuan-tuan dan puan-puan, terutamanya bagi mereka yang datang dari luar
Ibupejabat dan yang jauh atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan untuk
bersama-sama di majlis ini.
UCAPAN TAHUN BARU
Selanjutnya ingin saya
mengucapkan SELAMAT TAHUN-TAHUN BARU kepada Tuan-tuan dan Puan-puan semua. Kita
amat beruntung kerana telah meraikan tiga (3) Tahun Baru secara berurutan.
Pertama, kita telah meraikan Tahun Baru 1433 Hijrah mengikut Kalendar Islam
pada 27 November 2011.
Kemudiannya Tahun Baru 2012
pula mengikut calendar Gregorian pada 1 Januari 2012 dan yang terbaru, “Gong Xi
Fa Cai” atau Tahun Baru Cina (Tahun Naga Air) pada 23 dan 24 Januari 2012.
Kalau “Ponggal”, satu perayaan kaum India yang meraikan Pesta Menuai dan
perubahan musim pada 18 Januari juga dianggap tahun baru, maka kita dapat pula
empat (4) Tahun Baru.
AZAM TAHUN BARU
Walauapapun jenis perayaan
yang kita rayakan, sememangnya kita amat berharap dan berdoa agar kita akan
lebih sejahtera di tahun berikutnya. Bagi maksud inilah pada kebiasaannya kita
membuat AZAM TAHUN BARU, sama ada untuk meninggalkan perkara-perkara negative
yang tidak menjayakan diri kita mencapai matlamat ini, atau melaksanakan
perkara-perkara positif atau sesuatu yang boleh menjadikan kita lebih berjaya
baginya, atau kedua-duanya sekali. Kekadang kita terbawa pula tunggakan azam-azam
dari tahun terdahulu.
Saya beharap dan ingin
mengingatkan kita semua agar dalam kita membuat azam-azam tersebut, tidaklah
hendaknya kita lupa akan Majikan atau Organisasi tempat bekerja kita, yakni Jabatan
Pertanian Sabah. Kenapa demikian? Cuba kita renungkan ini. Kecuali hari Sabtu
dan Ahad dan Hari-hari kelepasan Am yang lain, sepanjang hari siang kita adalah
kita gunakan untuk melaksanakan tugas di Jabatan yang kita sayangi ini. Dalam
erti kata yang lain, di jabatan inilah tempat kita mencari nafkah, hari demi
hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun. Malah ada di antara kita, seperti
saya, hampir sepanjang hayat prima kita dihabiskan di Jabatan ini.
Kehadiran kita di Jabatan ini
bukan satu kebetulan, akan tetapi kerana wujudnya jawatan-jawatan tertentu
untuk melaksanakan fungsi-fungsi dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu bagi
mencapai objektif tugas jawatan berkenaan yang selanjutnya akan memastikan
perkhidmatan-perkhidmatan yang menjadi tanggungjawab Jabatan terlaksana.
Sebagai contoh ringkas,
Jabatan Pertanian berperanan untuk menggalak kemajuan dan pembangunan sektor
pertanian di negeri ini akan terus berlaku,secara terancang dan lestari, agar
akan terdapat bekalan makan yang cukup dan selamat dimakan. Sektor ini juga
dikehendaki dapat menyumbang kepada ekonomi negeri. Bagi maksud itu, Jabatan
Pertanian menyediakan beberapa program (yang utama ialah Pembangunan Tanaman,
Pembangunan Teknologi dan Pembangunan Sumber Insan dan Pengurusan Organisasi)
yang objektif pelaksanaannya dicapai melalui beberapa projek-projek tertentu.
Membantu Pengarah Pertanian merancang, melaksana, menyelia kemajuan
program-program ini ialah para Timbalan-Timbalan Pengarah yang selanjutnya di
bantu oleh Ketua-ketua Penolong Pengarah dan Penolong-Penolong Pengarah untuk
merancang, melaksana dan menyelia pelaksanaan projek-projek dan
perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan dengan program-program tersebut.
Selanjutnyalah, jawatan-jawatan Pegawai-Pegawai Pertanian dan Penyelidikan
diwujudkan untuk bertindak sebagai pelaksana dan penyelia setempat di lokasi
projek dan perkhidmatan itu dilaksanakan. Mereka ini akan dibantu pula oleh
Penolong-Penolong Pegawai Pertanian dan para Juruteknik Pertanian. Bagi
memastikan segala keperluan perkhidmatan, kewangan dan perkeranian semua
kakitangan di Jabatan terurus, jawatan-jawatan Pentadbiran dan Kewangan pula
diwujudkan dan selanjutnya. Maka hadirnya kita semua di Dewan yang indah ini
adalah kerana jawatan-jawatan yang diwujudkan oleh Jabatan atas keperluan
melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya.
Kita juga harus dapat melihat
dari yang saya sebutkan tadi bahawa ter.000dapat keberkaitan di antara tugas
dan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan. Maka hendaklah kita teruskan
kerjasama dikalangan kita demi mencapai kejayaan melaksanakan tugas dan
tanggungjawab kita masing-masing.
Jelas, kita perlu mewajarkan
kehadiran kita di Jabatan ini. Kita perlu melaksanakan tanggungjawab kita
masing-masing agar perkhidmatan-perkhidmatan yang dipertanggungjawabkan akan
terus terlaksana dengan baik. Kegagalan kita melaksanakan tanggungjawab kita
masing-masing mungkin akan menjumudkan perkhidmatan berkaitan dengannya yang
pada akhirnya akan menjumudkan jawatan yang berkaitan. Maka dengan itulah saya
bangkitkan Azam Tahun Baru kita dengan Jabatan. Pastikan terdapat di antara
Azam Tahun Baru tuan azam untuk meningkatkan prestasi kerja kita.
Maka, sekiranya kita terlupa
menyediakan Azam Tahun Baru yang ada hubungkaitnya diri kita dengan Jabatan,
masih tidak terlambat lagi kerana kita masih lagi di awal tahun.
CABARAN-CABARAN TAHUN BARU
Azam tahun baru untuk
meningkatkan pencapaian kerja kita adalah penting melihat kepada cabaran-cabarn
yang akan dihadapi oleh Jabatan dan kita sebagai penjawat awam di dalamnya.
Selain isu-isu lama yang semakin menekan,seperti kekurangan tenaga kerja dan
kemudahan pengangkutan, terdapat cabaran-cabaran baru yang mengundang kita
untuk lebih menggandakan usaha dan prestasi kita.
Saya rasa tuan-tuan dan
puan-puan semua sedia maklum Wawasan untuk menjadikan Negara kita menjadi
sebuah Negara maju dan berpendapatan tinggi. Inisiatif-inisiatif baru
diperkenal dan dilaksanakan bagi maksud ini, termasuk Program Transformasi
Ekonomi atau RTP, Program Transformasi Kerajaan, atau GTP dan Model Ekonomi
Baru atau NEM. Melihat secara dekat dan mendalam inisiatif-inisiatif ini
menjelaskan keperluan untuk kita menambahkan usaha dan daya upaya melaksana
diri kita masing-masing. Kita perlu dapat mewajarkan projek-projek dengan baik
untuk ianya dapat dilaksanakan oleh Sektor Swata jika terdapat adanya peranan
jabatan yang ingin dilaksanakan sebagai Entry Point Projects di bawah National
Key Economic Area, NKEA berkenaan. Tanpa ini, kita terpaksalah bergantung
kepada “dana traditional” yang kita perolehi melalui Unit Perancang Ekonomi
Negeri dan Persekutuan.
Bukan sahaja jumlah yang
diterima adalah lebih kurang berbanding belanjawan yang diterima pada
tempoh-tempoh pembangunan yang lepas, bilangan projek yang diperakukan juga
semakin kurang. Bagi pihak tertentu, ini tidak menjadi masalah kerana bererti
‘kurang projek kurang kerja’. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan jangan
tersilap tanggap kerana ini akan menggugat kewujudan tuan-tuan dan puan-puan di
jabatan ini sekiranya ianya berterusan. Seperti yang saya huraikan sebelum ini,
kewujudan kita adalah kerana melaksanakan tanggungjawab tertentu Jabatan. Maka,
kalau sesuatu peranan jabatan itu jumud kerana tidak mendapat peruntukkan untuk
melaksanakannya, lambat laun jawatan kita juga akan ikut seruap jumud. Oleh
yang demikian, kita perlulah lebih kreatif dalam menggunakan sumber-sumber yang
ada untuk dapat terus melaksanakan mana-mana peranan jabatan yang penting.
Program Transformasi Kerajaan
pula ingin melihat “Perkhidmatan Awam Yang Kejat”. Yang dimaksudkan ialah
“down-sizing” dan “right-sizing” perkhidmatan awam. Melihat ini, kita harus
bersedia bahawa tidak lagi akan mudah untuk kita mendapat kelulusan mengisi
jawatan-jawatan yang kosong. Yang sudah berlaku dalam bilangan yang sudah
banyak dan sudah lama sehingga kini. Maka akan tiba satu ketika Jabatan ini
perlu melaksanakan beberapa pendekatan-pendekatan bagi meningkatkan
produktiviti kakitangannya yang bilangannya semakin mengecil.
Salah satu pendekatan ialah
untuk kita menerima hakikat kita perlu menggunakan inovasi bagi meningkatkan
produktiviti kita. Inovasi tidak sahaja berbentuk fisikal,seperti computer,
tetapi juga boleh dalam bentuk cetusan idea kreatif dari dalam atau luar
jabatan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan Jabatan.
Selain itu, terdapat
keperluan juga untuk kita melatih semula kakitangan kita untuk mendapat
pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru untuk ianya menjadi kakitangan yang
sedia dan berkebolehan melaksanakan pelbagai tugas, atau “multi-tasking”. Ini
telah dibuat dengan jayanya di Perbadanan Pinjaman Sabah. Saraan baru
Perkhidmatan Awam, SBPA juga telah memperkenalkan pendekatan ini dengan
mengubah nama jawatan dari Pemandu kepada Petugas/Pekerja Operasi.
Kita bersyukur dan berterima
kasih kerana kerajaan telah melaksanakan urusan Kenaikan Pangkat Khas Untuk
Penyandang bagi kakitangan sokongtan yang telah berkhidmat 15 tahun atau lebih.
Dengan kenaikan pangkat ini, bermakna kakitangan berkenaan perlulah melaksanakan
tanggungjawab yang lebih tinggi atau beban atau “load “ tugas yang lebih berat.
Memandangkan para kakitangan
kita sudah boleh dilihat sebagai satu komoditi yang sangat kurang (“Scare
commodity”), maka haruslah ianya dijaga dengan baik. Maka amat perlu untuk
semua lokasi memastikan wujudnya suasana kerja yang selesa dan selamat di
tempat masing-masing. Sambil memastikan ada terdapatnya peralatan dan
kelengkapan keselamatan, seperti penutup hidung, goggles, dan alat pemadam api
disediakan untuk kegunaan dan keadaan tertentu, susunatur kelengkapan dan
keusangan serta kerosakan kemudahan dan juga perlu diperiksa dan diperbaiki.
Para pegawai juga perlu menggunakan kemudahan pemeriksaan kesihatan diri yang
disediakan.
Dalam hal penggunaan sumber
tenaga ini juga saya meminta semua ketua pejabat dapat menyelia pelaksanaan
waktu anjal ditempat masing-masing agar kemudahan ini tidak disalahgunakan. Kepatuhan kepada masa
kerja anjal yang dipilih oleh tuan-tuan sendiri dan diperakukan oleh ketua
pejabat hendaklah dipatuhi dan dihormati. Ketua pejabat akan
dipertanggungjawabkan sekiranya penyelewengan yang berlaku kerana kita akan
adakan pendekatan untuk menyemaknya. Sama-samalah kita pastikan bahawa gaji
yang kita terima itu sebenarnya wajar dan halal diterima.
Selanjutnya Jabatan juga akan
melihat semula kedudukan penempatan dan agihan kakitangannya yang sedia ada dan
akan mengambil tindakan untuk menyusun semula organisasi, agihan dan penempatan
kakitangannya.
SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM
Menyentuh tentang Saraan Baru
Perkhidmatan Awam yang dilaksanakan sekarang ini, saya rasa semua sedia maklum
yang ada 2 perkara yang terlibat. Pertama, ialah pilihan umur bersara dan kedua
pindaan kepada skim gaji itu sendiri.
Mengikut rekod, daripada
seramai 1,337 orang penjawat awam di jabatan ini, seramai 1,216 telah memilih
untuk bersara pada umur 60 tahun dan selebihnya memilih untuk kekal di umur
persaraan yang asal (13 orang 55 tahun, 34 orang 56 tahun dan 74 orang 58
tahun).
Saya sendiri telah memilih
untuk bersara pada umur 60 tahun bagi memberi kepimpinan kepada Jabatan ini
untuk 2 tahun lagi. InsyaAllah jika kesihatan mengizinkan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Saya rasa tuan-tuan dan
puan-puan juga sedia maklum bahawa oleh kerana terdapat beberapa teguran dan
ketidakpuasan hati dipelbagai pihak, maka SBPA akan disemak semula dan
ditangguh pelaksaan tangga gaji baru sehingga ianya siap pada 16 April ini.
Walauapapun, melihat kepada
semangat asalnya ialah untuk memperbaiki skim gaji yang ada untuk manfaat semua
penjawat awam, melalui peningkatan gaji, tambahan tangga gaji dan gaji maksima
yang lebih tinggi. Semata-mata ianya adalah berhasrat untuk membantu kita
mengatasi beban kos sara hidup yang kian meningkat.
Kita tunggu sahaja
kesudahannya dengan sabar.
PENCAPAIAN JABATAN 2011
Pada tahun lepas, kita telah
diperuntukkan sejumlah RM4.4 juta di bawah peruntukan Imbuhbalik Persekutuan
untuk melaksanakan sebanyak 11 buah Projek Pembangunan sejumlah RM39.5 juta di
bawah Peruntukan Pembangunan Negeri untuk melaksanakan sebanyak 18 buah Projek
Pembangunan RM75.99 juta di bawah Peruntukan Perbekalan bagi Belanja Mengurus
dan beberapa peruntukan pelbagai sumber yang lain. Tahap perbelanjaan
peruntukan-peruntukan ini masing-masingnya ialah 83.4%, 93.02% dan 80.8%. Jika
tahap perbelanjaan ini mencerminkan pencapaian sebenar sasaran-sasaran fisikal
projek-projek di bawah peruntukan berkenaan, ianya menunjukkan sebahagian besar
projek-projek tersebut telah mencapai sasarannya. Sungguhpun begitu,
memandangkan tidak semua peruntukan tersebut dapat dibelanjakan, maka adalah
dilihat masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan tahap
pelaksanaan projek-projek jabatan.
Untuk makluman, Jabatan telah
diperakukan sejumlah RM6.0 juta di bawah Peruntukan Imbuhbalik Persekutuan,
RM40.78 juta di bawah Peruntukan Pembangunan Negeri dan RM75.47 juta dibawah
Peruntukan Perbekalan pada tahun 2012 ini.
Selain kejayaan ini, Jabatan
Pertanian juga telah dapat melaksanakan tanggungjawab tambahan yang di
amanahkan kepadanya untuk membanmtu kesemua 150 Ketua Isi Rumag (KIR) miskin di
bawah Program 1AZAM i. Sejumlah RM2.754 juta telah dibelanjakan bagi maksud ini.
Bagi tahun ini pula, sejumlah RM5.2 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan
Program 1AZAM II bagi membantu sejumlah 460 KIR.
Jabatan juga telah berjaya
memperoleh persijilan MS ISO 9001:2008 pada tahun lepas. Sijil ini akan sah
laku sehingga 2014, namun saya menyeru agar lokasi-lokasi yang terlibat dapat
mempertahankan hak persijilan yang diperoleh dengan menampilkan proses kerja
yang berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan. Pihak lokasi juga diminta
dapat member nilai tambah kepada perkhidmatan yang sedia ada yang dibekalkan
menerusi usaha-usaha inovasi yang bersesuaian. Dalam pada itu, saya turut
menyarankan supaya lokasi persijilan ditambah lagi bilangannya.
Beberapa Perjanjian
Persefahaman (MOU) dan Perstujuan (MOA) telah juga di tandatangani Jabatan pada
tahun lepas. Diantaranya ialah Perjanjian Persefahaman dengan MOSTI untuk
menilai variti dan memperbanyakkan bahan tanaman Stevia dengan MIMOS untuk
Projek dalam bidang “Precision Agriculture” dan dengan Jabatan Pertanian Malaysia
untuk bantuan mengadakan kajian lapangan Survei Tanah. Pada tahun ini pula,
kita telah menandatangani perjanjian dengan Sawit Kinabalu Sdn Bhd dalam
Konservasi Baka Sawit Jabatan.
Saya amat berbangga dengan
pencapaian-pencapaian Jabatan melalui tuan-tuan dan puan-puan tersebut. Ianya
adalah mencerminkan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan untuk melaksanakan
perkhidmatan-perkhidmatan Jabatan. Semoga kita akan terus berjaya dan cemerlang
pada tahun ini.
UCAPAN TERIMA KASIH
Saya amat berterima kasih
atas sokongan yang tuan-tuan berikan kepada kepimpinan saya selama ini sehingga
baru-baru ini saya telah dianugerahkan Bintang Darjah Kebesaran Negeri, PGDK
yang membawa gelaran Datuk. Anugerah yang saya terima tidak mungkin tanpa
pengiktirafan usaha cemerlang jabatan yang tuan-tuan dan puan-puan semua
berikan. Maka dengan itu mencerminkan jugalah pencapaian tuan-tuan dan
puan-puan. Saya amat berterima kasih dan ingin berkongsi kebanggaan menerima
anugerah ini bersama tuan-tuan dan puan-puan.
Sebelum mengundur diri saya
ucapkan terima kasih atas tumpuan dan perhatian tuan-tuan dan puan-puan
sepanjang majlis ini. Semoga apa yang dibentang tadi dapat diambil menjadi
sandaran dan panduan kepada usaha yang lebih jaya melaksanakan tanggungjawab
kita pada tahun ini.
Apa yang disamapaikan tadi
mungkin ada yang kurang menyenangkan, terutamanya teguran-teguran adalah bukan
bertujuan untuk mengecil-kecilkan usaha dan menyinggung perasaan mana-mana
pihak. Ianya sekadar tanggungjawab selaku Ketua Organisasi untuk seringkali
mengingatkan kita akan tanggungjawab kita dari semasa ke semasa.
Wabillahi taufik wal
hidayah,wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment