Thursday, November 22, 2012

CM jumpa penjawat awam


TEKS UCAPAN Y.A.B DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN
KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERJUMPAAN PENJAWAT AWAM BERSAMA Y.A.B TIMBALAN PERDANA MENTERI, PADA 20 NOVEMBER 2012 (SELASA), DI BALLROOM, HOTEL MAGELLAN
KOTA KINABALU.


Walaupun kita sedia maklum bahawa Y.A.B. Tan Sri begitu sibuk dengan tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri dan baru sahaja kembali dari lawatan kerja ke Australia, namun Y.A.B. Tan Sri tetap komited meneruskan lawatan kerja ke negeri ini.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri dan YBhg. Dato’ Setiausaha Persekutuan Sabah, yang berganding bahu dan bekerjasama bagi menjayakan majlis perjumpaan ini

Pastinya hari ini amat bersejarah dan bermakna kepada Perkhidmatan Awam di Sabah kerana para pegawai Gred 41 dan ke atas daripada semua jabatan Negeri dan Persekutuan dihimpunkan untuk mendengar amanat daripada Y.A.B Timbalan Perdana Menteri.

Pada kesempatan ini saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada 118,999 orang pegawai Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah atas usaha gigih untuk memajukan dan memakmurkan negeri Sabah yang tercinta.

Berkat kesetiaan, kegigihan dan kerjasama tuan-tuan dan puan-puan dalam menjayakan pelaksanaan program pembangunan negeri, pencapaian Sabah dalam tempoh RMK-9 dan tahun pertama RMK-10 adalah amat membanggakan.

Y.A.B. Tan Sri, izinkan saya untuk menyentuh sedikit mengenai prestasi pembangunan negeri dalam pelbagai sektor. Dalam tempoh RMK-9 iaitu 2006 hingga 2010, kadar pertumbuhan KDNK Sabah ialah 5.0 peratus setahun dengan pertambahan tertinggi 7.7 peratus pada 2008, yang jelas membuktikan kepesatan dan kemapanan pertumbuhan ekonomi Sabah. Manakala Lebihan Dagangan (trade surplus) bertambah lebih 3 kali ganda iaitu RM4.8 billion (2006) kepada RM15.7 billion (2010). Semua sektor ekonomi juga berkembang.

Kemudahan dan infrastruktur awam di negeri ini juga bertambah baik. Usaha-usaha membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat terus diberikan fokus. Begitu juga dengan bidang-bidang pertanian, pelancongan, kesihatan, pendidikan, keselamatan, dan sebagainya di samping mejayakan pelbagai inisiatif dan program-program transformasi yang diperkenalkan oleh Y.A.B. PM.

Saya juga bersyukur kerana sumber dan perbelanjaan kewangan negeri sentiasa diurus secara berhemat, berkesan dan efisien mengikut peraturan-peraturan kewangan yang ditetapkan. Ketua Audit Negara telah mengiktiraf Sabah sebagai salah sebuah negeri yang mempunyai rekod terbaik dalam pengurusan kewangan.

Dengan kecemerlangan ini, bagi tahun 2011, Negeri Sabah sekali lagi dianugerahkan “Sijil Tanpa Teguran” (Clean Bill) yang menjadikan penganugerahan ini mencatatkan rekod selama 12 tahun berturut-turut. Negeri ini juga mencapai penarafan tertinggi `AAA’ oleh RAM Rating Services Berhad selama 3 tahun berturut-turut.

Kedudukan kewangan negeri sekarang amat kukuh. Rizab Negeri melebihi RM3 billion. Hasil Negeri juga melebihi RM4 billion. Lebihan sebenar berjumlah RM730 juta. Perbelanjaan pembangunan adalah RM1.17 billion dan TIADA TUNGGAKAN BAYARAN ke atas pinjaman daripada Kerajaan Pusat. Saya yakin pencapaian seumpama ini akan terus dikekalkan.

Suka saya tekankan bahawa kesemua pencapaian dan kejayaan tersebut tidak mungkin dapat dikecapi tanpa adanya sokongan, kerajasama, dedikasi dan komitmen tinggi daripada warga perkhidmatan awam Negeri dan Persekutuan di semua peringkat. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Sejak memegang amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri, saya melihat semangat kerjasama yang padu antara para penjawat awam Negeri dan Persekutuan. Saya amat berpuas hati dan percaya bahawa penjawat awam menjalankan tugas dengan satu matlamat yang sama, iaitu untuk memajukan dan memakmurkan lagi negeri Sabah yang tercinta ini.

Saya mengganggap tuan-tuan dan puan-puan sebagai satu pasukan, ‘satu perkhidmatan’, yang kukuh dan mantap dalam menjayakan agenda pembangunan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan selaras dengan konsep ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’

Dalam majlis perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan atau dengan para penjawat awam Negeri dan Persekutuan, saya sering menekankan supaya konsep kolaborasi dan koordinasi antara kedua-dua perkhidmatan awam ini hendaklah diutamakan dan dioptimumkan penggunaannya selaras dengan konsep ‘Blue Ocean Strategy’ seperti penekanan Y.A.B. Perdana Menteri yang kita kasihi.

Saya percaya bahawa perkongsian sumber antara penjawat awam Persekutuan dan penjawat awam Negeri Sabah, sama ada sumber fasiliti atau kemahiran dalam pelbagai aspek, akan membolehkan seluruh jentera sistem penyampaian awam di negeri ini dapat digerakkkan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Semasa pelaksanaan RMK-9 (2006 – 2010), Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM24.659 bilion untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan di seluruh negeri. Untuk RMK-10, peruntukan sebanyak RM21.456 bilion telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk  pelbagai projek pembangunan.

Di bawah peruntukan projek pembangunan Rolling Plan pertama (RP1), sebanyak RM12.254 bilion siling peruntukan telah diberi, manakala di bawah peruntukan projek pembangunan Rolling Plan kedua (RP2), sebanyak RM9.202 bilion lagi siling peruntukan disediakan. Dengan jumlah peruntukan yang besar, sudah tentulah harapan kita juga besar untuk menjamin kejayaan pelaksanaanya dan memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya.

Justeru, suka saya mengingatkan bahawa komitmen dan dedikasi tuan-tuan dan puan-puan amat penting untuk memastikan semua peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah RP1 dan RP2 dapat dibelanjakan.

Sesungguhnya kejayaan tuan-tuan dan puan-puan merancang, mengurus, melaksana, memantau dan menilai setiap projek pembangunan di bawah jabatan dan agensi masing-masing, bukan sahaja menggambarkan kecekapan perkhidmatan awam, bahkan membuktikan kewibawaan kerajaan pada keseluruhannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment