Friday, May 18, 2012

Pemangkin Kejayaan ....


SEKELUMIT SEJARAH

INSTITUT PERTANIAN SABAH

 Tuan Pengetua, En. Abdulatif Amit


Institut Pertanian Tinbang Menggaris  telah ditubuhkan pada mulanya sebagai sebuah Sekolah Vokasional Pertanian pada 20 Mac 1970 bertempat bangunan sementara di Pusat Latihan Pertanian, Tuaran. Bilangan pelajar kumpulan pertama yang mengikuti Kursus Sijil Pertanian selama tiga (3) tahun adalah 55 orang. Dalam tahun 1971, pelajar tahun kedua ditempatkan di Pusat Latihan Luar Bandar Tamu Darat Kota Belud manakala pelajar tahun pertama di Pusat Latihan Pertanian Tuaran. Dalam tahun 1972 dan 1973, kesemua kelas bagi tahun pertama, kedua dan ketiga diadakan di Tuaran dengan menggunakan bangunan Pusat Latihan Orang-orang Buta.

Pada Mei 1974, Institut ini telah berpindah ke tapak tetapnya di Timbang Menggaris, Kota Belud iaitu 4.5 km dari km100 jalan Kota Kinabalu-Kudat. Pembinaan bangunan-bangunan Institut di Timbang Menggaris telah dimulakan pada tahun 1971. Bangunan-bangunan tersebut telah siap dibina serta boleh digunakan pada awal tahun 1974. Sejumlah RM 4.5 juta telah dibelanjakan untuk tujuan pembinaan ini yang mana sebanyak RM 1.5 juta telah dibiayai oleh Kerajaan New Zealand dibawa Program Rancangan Bantuan Colombo (Colombo Plan Aid Programme) manakala bakinya telah dibiayai oleh Kerajaan Pusat.
Pada 28hb. Ogos, 1975, Sekolah Vokasional Pertanian yang pertama di negeri ini menawarkan Kursus Pertanian dan berasrama penuh telah dibuka dengan rasminya oleh YAB Tun Datu Haji Mustapha Bin Datu Harun, Ketua Menteri Sabah yang diwakili oleh YB Datuk Haji Mohamad Said Keruak, Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah. Pada Januari 1980, Sekolah Vokasional Pertanian dikenali sebagai Institut Pertanian selaras dengan Institut Pertanian yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Bermula pada sesi pengajian 1996/1997, tempoh berkursus di Institut disingkatkan kepada dua tahun sahaja dan menawarkan Kursus Sijil Pertanian bertaraf Politeknik dengan kumpulan pertama seramai 60 orang. Silibus yang digunakan adalah selaras dengan semua Institut Pertanian yang terdapat di Malaysia. Sijil Pertanian yang diperolehi diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sebagai setaraf dengan Sijil Politeknik dari Politeknik-Politeknik Kementerian Pendidikan untuk maksud lantikan ke Jawatan Pembantu Pertanian dalam Perkhidmatan Awam.

Bagi menampung peningkatan bilangan pelajar di Intitut ini, maka dalam Rancangan Malaysia Ke-8, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM 12 juta untuk membina bangunan tambahan yang terdiri daripada Dewan Kuliah Berkembar, Perpustakaan, Makmal Komputer, Makmal Pengurusan Tanah, Makmal Perlindungan Tanaman, Makmal Asas Sains Makanan, Bengkel Ketukangan Kayu, Dewan Makan beserta Dapur, Asrama Lelaki dan Asrama Wanita. Majlis perasmiannya telah diadakan pada 17 Julai 2006 oleh YAB Datuk Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah.



Diambil dari Majalah Prospektus ATC dulu2. 

No comments:

Post a Comment