Friday, April 27, 2012

TERIMA GAJI BARU... yehhhhhh




26 April 2012
1.4 JUTA KAKITANGAN AWAM TERIMA GAJI BARU
Utusan Malaysia
25/4/2012

KUALA LUMPUR 25 April - Kira-kira 1.4 juta kakitangan kerajaan hari ini mula menikmati gaji baru mereka di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu.
Gaji yang diterima melibatkan peningkatan di antara tujuh hingga 13 peratus mengikut gred masing-masing selepas pemansuhan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mengundang bantahan banyak pihak, antaranya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Selain penerimaan gaji berdasarkan pelarasan yang terbaru itu, penjawat awam turut menerima tunggakan gaji sejak Januari lalu.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, gaji baru itu membuktikan kerajaan sedia ada sememangnya mendengar keluhan masyarakat dan mengambil tindakan dalam memastikan kesejahteraan mereka terbela.
“Penjawat awam diharap dapat memanfaatkan apa yang mereka nikmati kini, di samping mempertingkatkan mutu kerja selari dengan proses transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan.
“Langkah itu adalah demi menunjukkan tanda terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendengar keluhan penjawat awam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian berhubung kakitangan kerajaan yang mula menerima gaji baru berdasarkan pelarasan SSM, hari ini.
Katanya lagi, kakitangan kerajaan diingatkan untuk memperbaiki imej mereka di mata masyarakat dan bukannya berada di tahap lama.
“Mereka perlu membuktikan bahawa mereka layak menerima pelarasan gaji tersebut apatah lagi setelah kerajaan menunaikan janji mereka.
“Saya juga berharap dengan adanya peningkatan ini, kegiatan rasuah di kalangan penjawat awam dapat dihapuskan," tambahnya.
Posted by CUEPACS at 4:34 PTG 83 comments
25 April 2012
TUNTUTAN TIGA PASANG PAKAIAN SERAGAM
Berita Harian
25/4/2012


CUEPACS mahu penjelasan 300,000 penjawat awam terima dua uniform sejak 2009

KUALA LUMPUR: CUEPACS meminta penjelasan berhubung peruntukan pakaian seragam membabitkan lebih 300,000 penjawat awam selain anggota tentera dan polis yang dikurangkan daripada tiga kepada dua pasang sejak 2009.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pengurangan pakaian seragam itu bercanggah dengan peraturan pembekalan pakaian seragam yang termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan diedarkan sejak 1980-an.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti isu itu secara serius dengan mengambil langkah perlu termasuk mendapatkan maklumat terperinci daripada setiap jabatan sebelum diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. “Aduan kali pertama berhubung perkara ini diterima pada 2010 dan semakin meningkat beberapa bulan kebelakangan ini.

“Pengurangan pakaian seragam menimbulkan masalah serius kepada penjawat awam yang diwajibkan berpakaian kemas setiap hari,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Pemantapan dan Integriti Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPKJSM), di Pusat Belia Antarabangsa, di sini, semalam.

Setiap penjawat awam menerima peruntukan pakaian seragam bernilai RM690 setahun.

Omar berkata, CUEPACS enggan menuding jari tetapi Bahagian Sumber Manusia jabatan harus bertanggungjawab dalam hal itu dan bukannya sekadar memberi jawapan ‘tiada peruntukan’ setiap kali masalah itu diajukan.
Posted by CUEPACS at 9:30 PG 14 comments

No comments:

Post a Comment