Tuesday, January 24, 2012

jangan jual mahal-mahal ...kobis dan bawang putih


Jangan kana tipu kalau membeli... terutama sekali barangan terkawal. KPDNKK Sabah umum 12 jenis barangan harga kawalan musim perayaan ini.


Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sabah mengumumkan 12 jenis barangan harga kawalan musim perayaan Tahun Baru Cina berkuatkuasa kelmarin sehingga 30 Januari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sabah Balwant Singh A/L Pritam Singh berkata skim kawalan harga musim perayaan itu melibatkan 24 daerah di seluruh Sabah.

Katanya, tempoh skim kawalan harga musim perayaan itu berkuatkuasa selama 12 hari iaitu empat hari sebelum perayaan, dua hari perayaan dan enam hari selepas perayaan.

“Oleh itu saya meminta kepada semua peniaga supaya menjual barang harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan.

“Kita juga meminta agar para peniaga meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas semua barang harga terkawal yang dijual bagi membezakan dengan barang-barang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.

Balwant berkata, senarai barang harga terkawal berkenaan termasuk ayam hidup, ayam yang disembelih dan dibersihkan, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih dari China, ikan bawal putih, udang putih besar, daging babi bahagian perut, isi daging dan lemak.

“Bawang putih (China) dan bawang besar import telah disenaraikan pada tahun ini oleh kerana ia adalah barang keperluan yang mempunyai permintaan tinggi menjelang musim perayaan,” katanya.

Mengenai pematuhan para peniaga terhadap harga barangan dan tanda harga barangan Balwant berkata, KPDNKK Sabah berpuas hati kerana kebanyakan peniaga mematuhi harga barangan kawalan.

Beliau turut mengingatkan para peniaga supaya sentiasa mempamerkan tanda harga barangan yang dijual sepanjang masa.

“Mereka yang tidak mempamerkan tanda harga khas berwarna merah jambu boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi individu untuk kesalahan pertama dan RM20,00 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

“Manakala bagi kesalahan menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditentukan, individu boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama dan RM250,00 atau lima tahun penjara bagi kesalahan kedua dan berikutnya,” katanya.

Balwant berkata, pegawai penguatkuasa KPDNKK Sabah dan pegawai pemantau harga barangan akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah seperti pasar awam dan pasar tani bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi peraturan pelaksanaan skim.

“Sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga barangan kawalan, orang ramai boleh menghubungi mana-mana pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di seluruh negara di talian bebas tol 1-800-886-800 atau email ke alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my.

No comments:

Post a Comment