Wednesday, December 14, 2011

Bahayakah?

HAKISAN TANAH: SATU MASALAH YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Dewasa kini, hakisan tanah yang berlaku di negara-negara Asean begitu membimbangkan masyarakat dan kerajaan. Setiap tahun, berjuta-juta tanah dipercayai hanyut begitu sahaja ke laut disebabkan oleh hakisan air hujan. Maksud hakisan adalah mengikis permukaan tanah, batu dan lain-lain yang disebabkan oleh air dan angin. Keadaan ini dipengaruhi oleh iklim negara-negara Asean yang memang lembap dan hujan lebat turun sepanjang tahun. Seandainya masalah kehilangan tanah tidak diatasi dengan segera, ia mungkin akan membawa kepada bencana banjir, kekurangan tempat takungan air, atau mungkin juga mengurangkan pengeluaran sumber makanan.

Tanah sangat berharga kepada manusia kerana ia mengandungi bahan-bahan yang amat diperlukan untuk tumbuh-tumbuhan yang sihat dan bermutu. Malaysia seperti kebanyakan negara-negara membangun yang lain tidak terkecuali daripada mengalami masalah kehilangan jumlah tanah yang besar akibat daripada hakisan.

Menurut kajian yang dijalankan, Malaysia kehilangan 300 000 hektar tanah setiap tahun dan lebih daripada empat tan tanah setiap hektar. Jika perkara ini berterusan, sudah tentu suatu hari nanti Malaysia akan kehabisan tanah untuk menjalan kegiatan penting seperti pertanian.

Hakisan berlaku terutamanya di kawasan-kawasan perumahan, perlombongan, pertanian, perhutanan, lebuh raya dan lain-lain. Kegiatan yang dijalankan di kawasan itu semuanya membabitkan penggunaan tanah. Penggunaan tanah yang tidak teratur boleh menyebabkan banjir yang boleh menghakis lapisan tanah yang subur dan mengurangkan hasil pengeluaran.

Kebanyakan tanah yang hilang dari kawasan itu adalah disebabkan penggunaannya tidak mengikut beberapa peraturan yang mudah untuk mengawal pembaziran tanah. Air adalah punca utama hakisan terjadi dengan begitu banyak dan teruk. Pembangunan kawasan-kawasan perumahan menyebabkan banyak tanah terhakis. Banyak pokok kayu yang berharga juga turut musnah akibat kegiatan ini.

Beberapa kawasan perumahan mengalami suhu yang tinggi kerana ketiadaan pokok dan tumbuh-tumbuhan yang dapat menyejukkan kawasan sekeliling daripada sinaran matahari. Air dari kawasan perumahan akan mengalir ke kolam penahanan lumpur, dan hanya air bersih yang dilepaskan ke anak sungai yang berdekatan. Dengan cara itu, pencemaran dan hakisan tanah dapat dikurangkan. Bagaimanapun, kolam di kawasan perumahan adalah kolam yang dikorek dan ini menjadi masalah kerana perbelanjaan menggali kolam itu sangat tinggi. Menurut kajian, lapisan tanah mengambil masa yang lama untuk membentuk. Adalah merugikan sekiranya sumber yang kaya dihanyutkan oleh hujan setelah mengambil masa yang lama untuk membentuk.
Menurut jurucakap Jabatan Perancang Bandar, satu cara untuk mengurangkan hakisan tanah ialah dengan menanam pokok-pokok yang sesuai dengan kandungan tanah. Contohnya, tanah di sekitar bangunan kerajaan di Damansara amat ringan dan lebih sesuai ditanam dengan pokok yang ringan dan tinggi supaya tidak mudah terhakis oleh hujan lebat. Menurutnya, tanah di lereng paling mudah terhakis. Jadi, rumput perlu ditanam secara sistematik untuk menahan tanah diseret oleh air. Tanah di lereng bukit harus ditanam secara kontur untuk mengurangkan tindakan hakisan tanah. Kadangkala penahanan atau tembok dibina untuk menahan tanah daripada dihakis dan dihanyutkan oleh air hujan.

Pada masa dahulu, para petani tidak mengetahui bagaimana untuk mengurangkan hakisan tanah yang berlaku di ladang-ladang mereka. Kini, dengan adanya penyelidikan dan kajian saintifik, disertai dengan pengetahuan yang lebih, para petani telah diberi tunjuk ajar bagaimana untuk membajak dan menanam dengan lebih cermat supaya tanah tidak mudah terhakis dan dihanyutkan oleh air hujan.

Kesimpulannya ,kawasan perumahan kini dikaji dengan lebih teliti bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah yang berkaitan dengan tanah. Dengan adanya langkah-langkah positif yang diambil untuk mengurangkan masalah hakisan tanah, maka diharapkan pada masa akan datang kita tidak akan mengalami masalah kekurangan tanah yang berharga itu. Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar, beliau berharap lebih ramai orang akan menyedari implikasi hakisan tanah dan menjadi harapan Jabatan Alam Sekitar agar orang ramai turut bekerjasama mengatasi masalah hakisan tanah.

nukilan oleh,
MALIK AZIM B. MOHAMAD NOR ANUAL
208759

DIAMBIL DARI:

No comments:

Post a Comment