Wednesday, August 1, 2012

ada harapan!!!


29 Julai 2012

TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENJAWAT AWAM BELI IJAZAH PALSU - KSN

Bernama
29/7/2012
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Tindakan tegas akan dikenakan terhadap penjawat awam yang didapati membeli ijazah palsu, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata polis masih menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang memilih jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja untuk memperolehi ijazah.

"Setakat ini tiada kes melibatkan penjawat awam yang terlibat di dalam pembelian ijazah palsu. Jika hasil siasatan mendapati ada di antara penjawat awam yang terlibat, tindakan tegas akan diambil serta merta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Program Transformasi Pegawai ke Luar Negara di sini.

Sebelum ini, media melaporkan ijazah itu dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud.

Lima universiti itu ialah University Of Rockhampton (tidak wujud), Harvey International University (tidak wujud), Cannington Brook University (tidak wujud), Glastonbury University (United Kingdom) dan Charles Molnar University (Hungary).

-- BERNAMA

27 Julai 2012

PENGUMUMAN BONUS TIDAK SEHARUSNYA PENGARUHI HARGA BARANG - ISMAIL SABRI

Bernama
27/7/2012

PETALING JAYA, 26 Julai (Bernama) -- Pengumuman bonus kepada penjawat awam tidak seharusnya mempengaruhi sebarang kenaikan harga barang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Khamis.

Beliau berkata isu kenaikan harga yang biasanya timbul apabila kerajaan membuat pengumuman berkaitan kenaikan gaji dan bonus untuk penjawat awam hanyalah satu spekulasi orang awam.

"Ia juga tidak seharusnya dijadikan sandaran kepada peniaga untuk menaikkan harga barang kerana harga barang harian akan dinaikkan atas sebab-sebab munasabah yang lain," katanya kepada media ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Giant di sini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Ismail juga berharap pengguna terus menjadi mata dan telinga kementerian itu dan membuat laporan sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barang tanpa alasan munasabah.

"Kami juga meminta kerjasama daripada peniaga untuk tidak menyorokkan barang kawalan dan sekiranya mereka tertangkap, pihak berkuasa akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat," katanya sambil memberi jaminan bahawa setakat ini bekalan mencukupi dan harga barangan keperluan masih dalam kawalan.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak kementerian juga telah melipat-gandakan usaha dalam memantau harga barangan kawalan itu sempena Ramadan dan musim perayaan yang bakal tiba.

Sementara itu, seramai 340 kanak-kanak daripada lapan rumah kebajikan sekitar Lembah Klang diraikan dalam acara membeli belah dan majlis berbuka puasa tajaan sepenuhnya syarikat pasar raya besar itu.

Pada majlis sama, Giant turut menyumbang sejumlah RM58,000 bagi membantu kanak-kanak dan rumah-rumah kebajikan itu menyiapkan persediaan untuk hari raya yang bakal tiba.

Sumbangan terdiri daripada RM100 duit membeli belah untuk setiap kanak-kanak, manakala setiap rumah kebajikan menerima sumbangan wang tunai RM3,000.

26 Julai 2012

PM: BONUS RAYA SETENGAH BULAN

Sinar Harian
25/7/2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment