Thursday, June 21, 2012

SKN BARU... ini kali lah!!! barangkali..


20 Jun 2012

PERLANTIKAN DR ALI HAMSA SEBAGAI KSN DIHARAP DAPAT MANTAPKAN HUBUNGAN PEKERJA DAN KERAJAAN

Bernama
20/6/2012



Pelantikan Dr Ali Hamsa Sebagai KSN Diharap Dapat Mantapkan Hubungan Pekerja Dengan Kerajaan
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap pelantikan Datuk Seri Dr Ali Hamsa sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru dapat memantapkan lagi sektor perkhidmatan awam negara sekaligus menjayakan program transformasi kerajaan.

Setiausaha Agung Cuepacs Lok Yim Pheng berkata kongres itu juga menyambut baik pelantikan Ali yang merupakan Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

"Kami harap dengan pelantikan ini hubungan antara pekerja dengan kerajaan akan bertambah baik dan harmoni," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata Cuepacs berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Ali dalam tempoh terdekat.

Pelantikan Ali sebagai KSN berkuatkuasa mulai 24 Jun 2012. Beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 23 Jun ini.

Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.

Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5 Jan 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Lok turut mengucapkan penghargaan kepada Mohd Sidek di atas segala sumbangan beliau kepada sektor awam amnya serta kakitangan kerajaan khususnya.

-- BERNAMA

19 Jun 2012

CUEPACS HARAP KERAJAAN SERAP PEKERJA KONTRAK KE JAWATAN TETAP

Bernama
19/6/2012

TEMERLOH, 19 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat menyerapkan 60,000 kakitangan kontrak perkhidmatan awam ke jawatan tetap dan berpencen.

Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata pelantikan ke jawatan tetap itu dilihat akan memberi jaminan masa depan kepada mereka selain dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam.

"Cuepacs berharap kerajaan dapat mengambil tindakan seberapa segera untuk menyerapkan mereka ini ke jawatan tetap," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Datuk Tariff Abdul Rahman menerusi Program Turun Padang bagi menyelami masalah anggota Cuepacs dan Kesatuan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULEA) di sini pada Selasa.

Mengenai program turun padang, Azih berkata pihaknya telah mengunjungi lebih 20 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di pantai timur bagi menyampaikan masej penting yang perlu dilaksana secara bersama antara pekerja dan majikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap Ketua Setiausaha Negara baru yang bakal menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan bersara pada 23 Jun ini, dapat meneruskan kerjasama yang baik dan erat dengan kesatuan itu.

-- BERNAMA

CUEPACS SAMBUT BAIK NAIK HAD UMUR PERSARAAN PEKERJA SWASTA

Bernama
19/6/2012

MUAR, 14 Jun (Bernama) -- Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman mengalu-alukan pembentangan cadangan menaikkan had umur persaraan pekerja sektor swasta kepada 60 tahun di Dewan Rakyat, semalam.

Omar berkata cadangan itu jika diluluskan adalah selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan had umur bersara kepada penjawat awam baru-baru ini.

"Ia juga akan meletakkan Malaysia setanding dengan negara Asia lain yang telah menaikkan had umur persaraan sektor swasta kepada 60 tahun,'' katanya kepada pemberita di bengkel Suruhanjaya Transformasi Perkhidmatan Awam, di sini, Khamis.

Beliau bagaimanapun mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu mekanisme bagi memantau pelaksanaan cadangan kenaikan had umur persaraan itu bagi mengelakkan adanya majikan yang mengambil kesempatan mengurangkan pekerja sewenang-wenangnya.

Menurut Omar, langkah itu penting kerana denda RM10,000 kepada syarikat besar yang memberhentikan pekerja yang belum mencapai umur 60 tahun, boleh dianggap tidak begitu berat.



-- BERNAMA

11 Jun 2012

GAJI, PANGKAT SEBAB BUKAN MELAYU KURANG MINAT SERTAI SEKTOR AWAM - CUEPACS

Bernama
Oleh Soon Li Wei
10./6/2012


KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Gaji dan pangkat merupakan antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Beliau berkata bukan Melayu khususnya kaum Cina mahukan gaji yang tinggi dan terus menjawat jawatan yang bertaraf pegawai bila menyertai sektor awam.

"Mereka ini (bukan Melayu) banyak berkelulusan tinggi yang nak terus dapat jawatan dan gaji tinggi.

"Mereka juga melihat sektor awam sebagai tempat yang agak terhad bagi mereka untuk kenaikan pangkat dan gaji," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan berkaitan kurangnya penyertaan kaum Cina dalam sektor awam.

Sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Oriental Daily pada Khamis lepas melaporkan memetik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Mahmood Adam bahawa lebih 1.12 juta permohonan sebagai penjawat awam diterima tahun lepas dan hanya 2.1 peratus terdiri daripada pemohon berbangsa Cina.

Osman berkata proses kenaikan pangkat yang mengambil masa yang lama turut menjadi punca bukan Melayu kurang berminat menceburi sektor awam.

"Misalnya, sesetengah daripada mereka yang merungut tidak diberi peluang dinaikkan pangkat walaupun sudah lebih daripada 10 tahun berkhidmat dan terpaksa mengambil peperiksaan serta menghadiri kursus yang banyak.

"Ini merupakan syarat untuk kenaikan pangkat sektor awam, mereka sepatutnya memahaminya dengan memberikan kerjasama mematuhi arahan yang telah ditetapkan dalam sektor awam dan bukannya melepaskan peluang begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata faktor kurangnya minat bukan Melayu menyertai sektor awam boleh dilihat dengan jelas apabila bilangan pemohon bukan Melayu khususnya kaum Cina menyertai pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sangat kecil.

"Malah, kita boleh lihat pada masa sekarang jarang sekali masyarakat Cina yang berkecimpung dalam pasukan beruniform kerana menganggap skop pekerjaan yang susah dan gaji yang sedikit," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai berkata golongan Cina tidak berminat menyertai sektor awam kerana tidak memahami skop perkhidmatan dan mempunyai pandangan negatif terhadap sektor itu.

Beliau berkata kerajaan sering menggalakkan golongan bukan Melayu untuk menyertai sektor awam dengan pelbagai usaha seperti mengadakan ceramah kerjaya, pameran dan sebagainya tetapi masih tidak berkesan.

"Saya cadangkan adakan usaha untuk membawa mereka (bukan Melayu) melawat jabatan kerajaan di seluruh Malaysia terutamanya yang melibatkan pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya untuk mereka memahami skop perkhidmatan awam itu sendiri," katanya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata sejarah merupakan antara faktor bukan Melayu tidak berminat menyertai sektor awam.

Beliau berkata pada zaman penjajahan British lagi rakyat sudah dibahagikan pengkhususan pekerjaan mengikut kaum, iaitu Melayu memasuki sektor awam, Cina dengan kegiatan ekonomi dan India terlibat dengan pertanian serta perladangan.

"Apabila tradisi ini sudah dilanjutkan, maka mereka akan menganggap sektor awam ini hanya untuk golongan kaum Melayu sahaja. Masyarakat Cina lebih cenderung dalam bidang ekonomi.

"Mereka lebih berminat untuk menceburi dalam bidang perniagaan dan ekonomi kerana sektor ini dapat menjana keuntungan dalam masa yang singkat".

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment