Sunday, September 18, 2011

CIK SOM


SOM Jamin Kualiti Hasil Pertanian Organik

Sejak kebelakangan ini, makanan organik semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat. Malah, kewujudan iklan-iklan komersial yang mempromosikan pertanian secara organik juga dapat dilihat di kaca televisyen. Boleh dikatakan, pertanian organik menjadi salah satu gaya hidup masyarakat moden hari ini yang amat mementingkan penjagaan kesihatan dan kelestarian alam sekitar. Namun, tahukah kita, apakah pertanian organik? Perladangan organik adalah satu sistem pengeluaran tanaman yang tidak menggunakan bahan kimia sintetik seperti baja kimia sebatian, racun perosak dan hormon penggalak tumbesaran. Perladangan secara organik memberi tumpuan kepada langkah-langkah melindungi alam sekitar dan memelihara kepelbagaian biologi bagi menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat. Ia perlu dilaksanakan mengikut standard supaya kualiti pengeluaran produk organik dapat ditingkatkan. Bagi memastikan hasil yang berkualiti, Jabatan Pertanian membangunkan Skim Organik Malaysia (SOM) untuk mengiktiraf ladang-ladang yang diusahakan secara organik berdasarkan kriteria dan keperluan yang ditetapkan dalam Standard SOM.

Skim ini memberi tumpuan pada aktiviti pengeluaran dan pengendalian termasuk pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan jualan produk pertanian organik. Standard ini berpandukan pada Malaysian Standard MS 1529:2001 The Production, Processing, Labelling and Marketing of Plant Based Organically Produced Foods. Sijil SOM akan diberikan kepada ladang-ladang yang berjaya mematuhi semua syarat-syarat pensijilan SOM. Sejak 2003 hingga kini, sebanyak 170 ladang telah mendaftar dalam persijilan ini. Bagaimanapun, hanya 28 ladang organik sahaja yang layak menggunakan label organik di pasaran dengan harga premium. Bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan label organik, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan membuat pindaan kepada Peraturan Makanan 1985 yang diwartakan pada 24 Ogos 2009. Pindaan ini menetapkan produk makanan yang hendak dilabel dengan perkataan organik, biologikal, ekologikal, biodinamik mesti mematuhi keperluan pelabelan dalam Malaysian Standard MS 1529:2001 The Production, Processing, Labelling and Marketing of Plant Based Organically Produced Foods. Ini bermakna, mana-mana produk pertanian yang dilabel organik mesti memperoleh sijil SOM. Peraturan ini berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.

.

Dipetik dari:

http://www.moa.gov.my/web/guest/pertanian1perniagaan

No comments:

Post a Comment