Friday, January 28, 2011

Mukadima Oleh Yg. Berusaha Tuan Idrus Shafee pada majalah Jubli Perak Kelab Pertanian Sabah

Pemacu Kegemilangan Kelab!

.
.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Seulas pinang, sekapur sirih; harap bersenang, di majlis berseri.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita semua berkumpul di majlis malam bersejarah ini di dalam suasana yang gilang gemilang.

Bagi pihak Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Pertanian Sabah, saya ingin mengalukan-alukan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kehadiran dan sokongan semua yang turut sama dalam Majlis Malam Pertanian 2010 serta sambutan Jubli Perak Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Pertanian Sabah.

Pencapaian sepanjang tempoh 25 tahun memberikan berbagai-bagai kenangan yang dilalui untuk menuju satu perjalanan demi memperjuangkan penyatuan ahli kelab dalam menyokong hasrat dan misi kerajaan di industri pertanian. Beraneka program serta aktiviti berjaya dikendalikan seperti :-

@Penganjuran Seminar Kecergasan Jabatan Pertanian sekali dalam dua tahun;
@Penyertaan dalam pelbagai jenis sukan anjuran peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah;
@Penyertaan dalam Seminar Kecergasan peringkat kebangsaan;
@Penubuhan cawangan-cawangan Kelab Sukan dan Rekreasi untuk 6 zon (Ibu Pejabat, Utara, Pedalaman, selatan Sandakan dan Tawau;
@Penerbitan Warta Kelab
@Penganjuran program dan lawatan-lawatan amal/kebajikan;
@Penganjuran program lawatan sambil belajar; dan
@Penganjuran aktiviti sosial dan rekreasi.
@Aktiviti menambah kewangan tabung kelab.

Penganjuran dalam apa jua aktiviti kelab ini walaubagaimanapun, tidak akan berjaya tanpa adanya penglibatan daripada semua ahli kelab. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mendokong dan menjayakan apa jua program anjuran kelab untuk meningkatkan produktiviti dan dapat mengukuhkan lagi imej Jabatan yang sedia ada ke arah kejayaan yang lebih cemerlang samada di dalam mahupun di luar aktiviti Jabatan Pertanian.

Di samping itu, semangat persaudaraan dan rasa setiakawan yang terjalin merupakan dua faktor penting bagi menentukan masa depan pelapis para peneraju Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Pertanian untuk terus menikmati suasana kehidupan yang harmoni serta memperkembangkan lagi lebih jauh dalam penganjuran apa jua aktiviti kelab ini. Inilah formula bagi keamanan serta kemajuan kelab kita.

Akhir kata, ucapan penghargaan dan terima kasih turut dihulurkan khususnya ahli-ahli jawatankuasa penganjur, ahli-ahli kelab pertanian, semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat sama serta para penderma yang telah sudi memberikan sumbangan, bantuan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan majlis malam ini.

Marilah kita bersama-sama mencari persamaan, elakkanlah perbezaan dan terimalah kepelbagaian dalam Satu Malaysia.

Sekian dan terima kasih.

dipetik dari Majalah Jubli Perak Kelab Pertanian Sabah

No comments:

Post a Comment